Rabu, Februari 11, 2015

Resepi Gulai Batang Pisang Orang Baling

Gulai Batang Pisang memang signature dish orang Baling Kedah, terutamanya di kawasan kampung. Tetapi tolong jangan bayangkan dalam periuk atau kawah sedang menggelegak tu ada batang pisang.  Nama saja Gulai Batang Pisang tetapi bahagian batang pisang yang digunakan adalah umbut pisang atau rias pisang. Umbut pisang adalah bahagian tengah batang pisang yang lembut dan berwarna putih. Sama saja kalau umbut kelapa.
Gulai batang pisang biasanya di masak untuk majlis kenduri dan lebih sedap gulai batang pisang  menggunakan daging bertulang  lembu atau kambing.
Sekarang, menu gulai batang pisang boleh juga dijadikan salah satu menu berbuka puasa yang istimewa.

Umbut pisang ni manis sebenarnya, kalau tak percaya pergi tebang sepokok tetapi jangan tersilap pilih jenis pisang. Bukan semua jenis pisang sedap dibuat gulai. Antara yang terbaik ialah pisang wak, pisang batu ( pisang abu ) atau pisang hutan yang sedap.
Bila saya cakap pisang hutan tolong jangan bayangkan kita  perlu meredah hutan seperti Taman Negara pula untuk dapatkan pokok pisang.  Orang bandar ni , bila sebut saja hutan, dia ingat hutan sebetul betul hutan.  Pisang hutan biasanya tumbuh sendiri di tepi-tepi kampung , tepi-tepi sungai atau  di tepi-tepi lebuh raya pun kita boleh nampak pisang hutan.
Ok… jom masuk dapur. Kita masak gulai batang pisang.
batang pisang
Inilah rupa batang pisang atau lebih tepat umbut pisang. Bahagian ni kena buang lagi kulit luarnya. Umbut yang digunakan adalah bahagian paling akhir , kalau buang  bahagian tu … dah tak ada…. hiks!
batang pisang
Potong umbut pisang tu 1 – 1½ inci besarnya. Bahagian paling penting di sini, urat atau tali atau getah pisang yang berjurai-jurai tu kena buang. Kalau tak buang umbut pisang tetap berangkai-rangkai apabila di masak. Tak putus.  Urat-urat yang keluar tu memang kuat   Bila kita tarik, uratnya makin memanjang.  Kena buang sampai habis.
umbut pisang
Ini juga tip atau panduan penting supaya umbut pisang tidak hitam atau lebam apabila di masak. Selepas di potong, lumur umbut pisang dengan kunyit. Kalau dibiarkan umbut pisang yang telah dipotong lama terdedah, umbut mudah hitam dan lebam.

ayam kampung
Ini juga bahan penting. Ayam kampung. Mak memang tak makan ‘ayam bandar’ jadi memang mak bela ayam. Bila anak cucu balik kampung, beberapa ekor akan dikorbankan.
Proses nak siangn ayam kampung pun bukan mudah.  Mesti ramai yang dah lupa rupa ayam sebab biasa nampak ayam tanpa bulu saja di pasar.
Mula-mula kena jerang air.  Bila ayam dah disembelih, darah dah kering , potong di bahagian tembolok ( dekat leher ) dan satu tebukan lagi dibahagian hujung bawah bontot ayam.  Masukkan tangan dalam perut ayam dan tarik keluar semua organ dalaman seperti hati, hempedu, pedal dan usus.  Suam-suam dan hangat-hangat delam perut ayam tu.
Lepas tu siram dengan air mendidih dan mulakan proses mencabut bulu sewaktu masih hangat.  Kalau dah sejuk bulu susah nak tercabut.  Kena mulakan proses mencabut bulu ayam di bahagian pelepah sayap kerana bahagian itu lebih besar bulunya.
Dah bersih cantik comel… layur atas api.  Bulu-bulu roma yang halus-halus semua habis terbakar.  Lepas tu baru boleh dipotong ayam mengikut sendi-sendi anggota badan ayam.
Dah siap proses menyiang ayam kampung.  Jangan risau kalau kena bersusah payah nak menyediakan semua bahan ni sebab ending dalam mangkuk nanti cukup berbaloi sedapnya.
Jom kita menumis!

Resepi Batang Pisang

  • 2 ekor ayam kampung
  • 1 pokok umbut pising
  • asam jawa
  • garam
  • 1 cawan serbuk kari daging
  • 1 cawan kerisik
  • 2 tangkai daun kari
  • air
  • santan dari sebiji kelapa – asing bahagian santan pekat dan santan cair
  • minyak untuk menumis.
Bahan tumis
  • 2 batang kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 5 ulas bawang merah dimayang
  • 4 ulas bawang putih dimayang
  • 1 inci halia potong halus

Cara memasak gulai batang pisang

  • Tumis bahan tumisan. Masukkan daun kari.
  • Bancuh serbuk kari dan kerisik dengan air. Bila bahan tumisan dah terbit bau, masukkan campuran serbuk kari dan kerisik.
  • Masak sampai terbit minyak. Masukkan ayam dan santan cair.
  • Bila ayam betul-betul masak dan lembut, masukkan santan pekat, batang pisang, garam dan air asam jawa.
  • Masak lebih kurang 10 minit sehingga umbut pisang dah lembut
Dah siap… sedia untuk dihidangkan. Biasanya sebelum dihidang untuk makan tengah hari memasing dah merasa seorang semagkuk. Inilah istimewanya gulai batang pisang.
gulai batang pisang baling

Rahsia gulai batang pisang sedap?

Ratio serbuk rempah  dan kerisik sama banyak!   Saya jumpa banyak resepi gulai batang pisang di internet yang tak gunakan kerisik. Satu lagi rahsia kesedapan gulai batang pisang adalah kami memasak menggunakan dapur kayu. Daging cepat empuk dan rasanya lebih sedap kerana ramuan rempah sebati.
Nota pesanan :  Kalau nak beli gulai batang pisang di mana-mana, di Bazar Ramadan ( BARAM ) atau di Pasar Ramadan ( PARAM ), tengok dulu batang pisang yang digunakan. Saya pernah jumpa gulai batang pisang menggunakan pelepah pisang.  Itu makanan lembu sajalah…………….. tak baik menipu orang.
Rasanya dah banyak tips atau rahsia kesedapan gulai batang pisang saya dah bagi , harap-harap orang luar ( luar dari Kedah ) yang pertama kali memakan gulai batang pisang tak tertipu dan kecewa apabila mendapat gulai yang tidak betul-betul asli resepinya.

Tiada ulasan: